mutakhir

Rancang belanja di hari tua

Oleh Hamizah Badiran

Petaling Jaya: Enam puluh empat peratus daripada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 54 tahun mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 dan ke bawah di mana kebanyakan ahli menghabiskan simpanan mereka dalam jangka masa tiga hingga lima tahun sahaja.

Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) M Mogana berkata, antara sebab utama kepada masalah itu adalah faktor gaji yang rendah, isu keluarga (generasi sandwic), pengeluaran Akaun 2 dan sebagainya.

“Ahli aktif berusia 54 tahun yang mencapai simpanan asas iaitu sekurang-kurangnya RM228,000 juga hanya 30 peratus saja.

“Simpanan asas adalah satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut usia bagi membolehkan ahli mempunyai sekurang-kurangnya RM228,000 ketika mencapai usia 55 tahun bagi membiayai keperluan asas persaraan,” katanya ketika ditemui di Kaunter RAS cawangan KWSP.

Menurut Mogana, selain mengeluarkan semua simpanan, pencarum mempunyai empat pilihan lain iaitu pengeluaran sebahagian simpanan, pengeluaran bayaran bulanan, kombinasi pengeluaran sebahagian simpanan dan bayaran bulanan serta pengeluaran dividen tahunan saja atau bulanan.

Selain itu, katanya, mereka juga boleh mengembangkan jumlah simpanan dengan beberapa cara seperti pelaburan dan sebagainya.

Justeru, Mogana menasihatkan pencarum supaya mendapatkan khidmat nasihat di kaunter RAS untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pengurusan kewangan dan merancang perbelanjaan dengan sebaiknya bagi meneruskan kelangsungan hidup di hari tua.

“Kami sebagai Pegawai Penasihat RAS menggunakan dua pendekatan iaitu perancangan persaraan kepada ahli berusia 35 tahun ke atas dan perancangan kewangan bagi ahli berusia 35 tahun ke bawah.

“Ia sejajar dengan objektif penubuhan RAS iaitu meningkatkan kesedaran dan pengetahuan ahli mengenai kepentingan merancang untuk persaraan serta memberi pandangan dan nasihat dalam membuat keputusan terbaik sebelum membuat pengeluaran simpanan KWSP.

“Selain itu, RAS juga memberi bimbingan dalam pengurusan simpanan persaraan agar ahli dapat menjana pendapatan bulanan, bertahan lama dan berupaya membiayai kos sara hidup semasa berada di alam persaraan,” katanya.

Sejak RAS dilancarkan pada 2014 sehingga Ogos lalu, seramai 54,532 ahli mendapatkan khidmat nasihat RAS secara percuma di cawangan KWSP.

Selain perancangan kewangan, KWSP juga menyediakan khidmat lain termasuk Caruman Pilihan sendiri dan Skim Persaraan 1Malaysia.

“Kami bertemu dengan ramai ahli yang tampil ke kaunter untuk memohon pengeluaran penuh daripada KWSP.

“Ramai di antara mereka yang tidak tahu bahawa wang itu boleh terus disimpan atau melakukan pengeluaran secara berperingkat berbanding pengeluaran penuh.

“Selepas bertemu pegawai RAS, mereka menilai semula keputusan dan mengeluarkannya secara fleksibel berbanding pengeluaran penuh. Tidak ketinggalan, terdapat juga ahli yang mencarum wang untuk meningkatkan jumlah simpanan persaraan mereka,” kata Mogana.

Pada masa sama, KWSP turut membenarkan pesara terus menyimpan wang simpanan mereka dan memilih untuk menerima dividen sehingga usia 100 tahun berbanding mengeluarkan wang itu sepenuhnya.

Berikutan itu, Mogana menasihatkan agar rakyat Malaysia menyimpan untuk masa depan dan tidak boros berbelanja.

“Berbelanja perlu berpada-pada dan beringat sebelum berlaku hal tidak diingini. Penat kita bekerja untuk menyimpan wang, justeru menyimpanlah dengan bijak.

“Bagi graduan atau anak muda yang baru sahaja bekerja, mereka amat digalakkan menyimpan sedikit wang gaji untuk persaraan, manakala golongan berusia 40-an dan 50-an perlu mempertimbangkan pelan pengurusan kewangan bagi mengelakkan dibelenggu masalah hutang apabila bersara kelak,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 18 kaunter RAS seperti di cawangan KWSP Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Selangor, Seberang Jaya, Pulau Pinang, Ipoh, Perak; Kuantan, Pahang; Johor Bahru, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah.

KWSP juga menyasarkan untuk memperluaskan kaunter RAS dengan membuka beberapa lagi cawangan baru di seluruh negara.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 6:04am
d