mutakhir

Pengarah didakwa

Oleh Muhammad Apendy Issahak

DUA pengarah syarikat kejuruteraan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini dengan dua tuduhan menyalahgunakan wang milik seorang wanita pada November 2015.

K Selva Rajah, 45, dan Jazlan Abdullah, 46, didakwa menyalahgunakan wang milik Fatimah Shamsulaman, 55, berjumlah RM13,500 yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank milik Sunner Group International Berhad pada 23 November 2015, jam 10.04 pagi di Maybank Station 18 Ipoh.

Kedua-dua mereka juga didakwa menyalahgunakan harta iaitu wang RM14,000 milik wanita sama yang dimasukkan ke akaun sama milik Sunner Group International Berhad pada jam 11.40 pagi, 24 November 2015 di Public Bank Jalan Pasir Puteh, Ipoh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar. Mengikut seksyen berkenaan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka yang diwakili K Hari Krishnan mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Irna Julieza memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Hari Krishnan memberitahu mahkamah kes antara tertuduh dan wanita terbabit juga dibawa ke Mahkamah Sivil dengan kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Menurutnya, jika dikenakan jaminan, pihaknya memohon setiap anak guamnya dikenakan ikat jamin RM2,000.

Irna Julieza pula meminta mahkamah mengekalkan jumlah jaminan dipohon kerana menurutnya, walaupun kes dibawa ke Mahkamah Sivil, hak pendakwaan terhadap kes jenayah terletak pada Timbalan Pendakwa Raya.

Siti Hafiza kemudian menetapkan jaminan RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah. Kes akan disebut semula pada 9 November.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 12:58pm
d