mutakhir

Tunggu perintah bakar bot nelayan asing

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang menunggu perintah mahkamah bagi membolehkan 102 bot nelayan Vietnam yang disita agensi itu sepanjang tahun ini di perairan wilayah timur dilupuskan.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata, sebaik perintah mahkamah diperolehi pihaknya akan menggunakan pendekatan membakar semua bot berkenaan sebagai amaran kepada pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

“Tindakan itu (membakar bot nelayan asing) terpaksa diambil untuk menggerun dan menakutkan nelayan asing terutama di kalangan warga Vietnam yang sering kali ditahan menceroboh perairan negara.

“Sebelum ini APMM menggunakan kaedah memusnahkan bot nelayan asing dengan meleraikan bahagian bot-bot itu atau menenggelamkannya tetapi cara itu tidak berkesan malah pencerobohan nelayan asing masih berlaku” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas pengarah maritim wilayah timur antara Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee yang akan bersara wajib dengan Laksamana Pertama Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar di Kuantan, hari ini.

Zulkifli berkata, tindakan sama yang dilakukan kerajaan Indonesia sebelum ini ternyata berkesan dalam memastikan tiada aktiviti penangkapan ikan secara haram oleh nelayan asing di perairan mereka.

Bagaimanapun katanya, hasil pemantauan dan risikan yang diperoleh mendapati nelayan asing terutama bot yang berdaftar dari Vietnam mula menjadikan perairan Malaysia sebagai lokasi baru untuk mereka menjalankan aktiviti memukat secara haram.

“Apabila siasatan dilakukan nelayan Vietnam bukan saja menangkap ikan di perairan kita malah menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan iaitu menggunakan pukat ganding untuk menangkap hasil laut,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu bukan saja menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit disebabkan kehilangan hasil laut malah turut memusnahkan ekosistem perairan Malaysia.

Menurutnya, APMM akan meneruskan pendekatan membakar bot nelayan asing walaupun mengetahui akan dikritik hebat negara jiran yang tidak bersetuju dengan langkah diambil.

“Saya harap mahkamah dapat mempercepatkan proses itu. Bot-bot yang disita tidak akan dijual atau dilelong kerana dibimbangi akan memasuki pasaran dan industri perikanan semula,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pendekatan penguatkuasaan yang digunakan APMM setakat ini beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menyediakan kapal induk kepada agensi itu supaya operasi penguatkuasaan dapat dijalankan secara efisien.

Katanya, kapal induk itu akan berfungsi menempatkan bot dan operasi pusat pemerintahan bagi mengawal aktiviti pencerobohan nelayan asing.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 2:08pm
d