mutakhir

22 dipindah rumah tertimbus [METROTV]

Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

DUA puluh dua orang dari enam keluarga terpaksa dipindahkan selepas lima rumah mengalami kerosakan teruk akibat tertimbus tanah runtuh di Kampung Kolam Damai Bukit Padang, Kota Kinabalu, hari ini.

Bagaimanapun kejadian 8.30 pagi itu tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Mohd Akramin Sakirun berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 8.37 pagi tadi.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk bantuan kecemasan.

"Berdasarkan maklumat awal, kejadian ini membabitkan kes tanah runtuh yang merosakkan sekurang-kurangnya lima rumah penduduk dengan enam keluarga terjejas," katanya.

Mohd Akramin berkata, setakat ini, proses pemindahan penduduk yang terjejas sedang giat dijalankan.

"Semua mangsa yang terbabit dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Penampang.

"Kita tidak menolak kemungkinan insiden tanah runtuh ini disebabkan hujan tidak berhenti-henti sejak kelmarin," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 2:44pm
d