mutakhir

Kelindan maut, 3,000 ayam mati

Oleh Nur Saliawati Salberi

KELINDAN warga Bangladesh maut selepas lori membawa muatan lebih 3,000 ayam terbalik di Kilometer 25, Jalan Serkam- Bemban, Jasin, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, mangsa, Raijul Miah, 33, maut di lokasi kejadian manakala dua lagi rakannya parah dan pemandu lori hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian lori yang membawa muatan 3,320 ayam itu dalam perjalanan dari Bahau, Negeri Sembilan, ke tempat persembelihan di Serkam.

"Siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba dilokasi kejadian lalu terbabas dan terbalik ke semak.

"Akibatnya mangsa maut di lokasi kejadian kerana parah dikepala dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang parah pula dikejarkan ke Hospital Melaka bagi rawatan lanjut.

"Kemalangan itu juga mengakibatkan 3,000 ayam yang dibawa mati.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 3:05pm
d