mutakhir

Duta kecil negara

Oleh Nursyahirah Marzuki

SERAMAI 29 duta kecil Malaysia bakal berkongsi program Transformasi Nasional 2050 (TN50) di atas kapal Nippon Maru menerusi Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) kali ke-44 bermula 23 Oktober hingga 13 Disember.

Pelayaran yang membabitkan 350 belia ASEAN itu akan bermula dari Jepun ke Shihanoukville, Kemboja; Bangkok, Thailand; Jakarta, Indonesia dan Pelabuhan Klang, Malaysia sebelum belayar semula ke Jepun.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, program tahunan itu anjuran kerajaan Jepun dengan kerjasama negara ASEAN termasuk Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Melalui program kali ini, saya memberi amanat kepada peserta Malaysia untuk membincangkan mengenai TN50 iaitu satu kelainan yang ada pada negara kita yang boleh dikongsi bersama belia dari ASEAN dan Jepun.

“Ini antara topik yang baik untuk dikongsi dengan peserta lain bagi menunjukkan Malaysia memberi peluang kepada anak muda, bukan hanya menyatakan aspirasi, malah masa depan Malaysia dicorakkan oleh belia sendiri,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Duta Besar Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa.

Beliau berharap topik TN50 itu akan menjadi perkongsian bermanfaat yang dapat digunakan ketika peserta diberi peluang untuk menyampaikan taklimat berkaitan perkembangan Malaysia.

Dalam pada itu, katanya, sehingga kini, lebih 1,000 belia tempatan sudah menyertai SSEAYP sejak dilaksanakan selepas melalui beberapa ujian terutama dari segi pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi.

“Malah, saya gembira untuk mengumumkan Malaysia juga akan menjadi tuan rumah pada program kali ini apabila Nippon Maru akan berlabuh di Pelabuhan Klang pada 30 November hingga 3 Disember.

“Saya harap kita dapat menggunakan peluang ini untuk berkongsi mengenai langkah yang diambil Malaysia kerana mungkin negara lain tidak mempunyai pendekatan seperti TN50,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 3:20pm
d