mutakhir

Bersalah pukul adik, anak saudara

Oleh BERNAMA

BURUH yang memukul anak saudara dan adiknya sehingga mereka cedera, hari ini, dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ampang.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhi hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan terhadap Norazman Abdul Hamid, 52, dan memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula pada tarikh tangkap 17 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan Fatin Aqilah Muhammad Cos, 19, yang bekerja sebagai jurujual, di bilik mandi di pangsapuri Taman Keramat, Hulu Langat, pada kira-kira 8 malam, 16 Oktober lalu.

Lelaki itu turut mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan adik kandungnya, Noraini Hamid @ Abdul Hamid, 48, di hadapan pintu masuk rumah yang sama pada masa dan tarikh sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Norazman didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Norazman yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia menanggung dan menjaga kedua-dua mangsa.

“Saya mengaku kesalahan saya, tindakan yang dilakukan adalah di luar jangkaan saya. Saya yang menjaga mereka selepas suami kepada adik saya meninggalkan dia dan anaknya,” katanya.

Bagaimanapun,Timbalan Pendakwa Raya Nor Hashimah Hashim memohon hukuman penjara sebagai pengajaran kerana perbuatan tertuduh adalah serius sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan dan trauma.

“Sepatutnya tertuduh yang melindungi dan bertanggungjawab ke atas kedua-dua mangsa sebaliknya tertuduh sendiri bertindak memukul mangsa,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Norazman bertanyakan Fatin Aqilah di mana botol air miliknya dan apabila anak saudaranya itu menjawab tidak tahu, tertuduh terus mendapatkan mangsa yang ketika itu berada di bilik mandi, menolak dan memukul kepala sehingga mangsa mengalami bengkak dan lebam di dahi.

Noraini kemudian datang dan cuba memberi bantuan namun tertuduh menarik rambut adiknya itu sehingga terjatuh dan mengalami lebam serta bengkak pada bahagian siku kirinya.

Kedua-dua mangsa terus membuat laporan polis.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 4:14pm
d