mutakhir

ADUN PKR dibebas

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Chan Ming Kai, hari ini dilepaskan dan dibebaskan Mahkamah Majistret Kangar daripada pertuduhan menghalang tugas penjawat awam di kawasan tapak projek di Seriab, Kangar April tahun lalu.

Majistret Mohd Azhar Hamzah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, di akhir kes pendakwaan.

Mohd Azhar dalam penghakimannya, berkata, prima facie gagal dibuktikan kerana pertuduhan lemah dan video yang dikemukakan oleh tertuduh tidak boleh disangkal oleh saksi.

Sebelum ini, ADUN PKR itu didakwa menghalang tugas pegawai polis berpangkat Inspektor, M Kaneson dan anggota polis yang sedang menjaga keselamatan di kawasan tapak projek pembinaan struktur komunikasi Perlis Comm Sdn Bhd.

Chan didakwa menghalang dengan cara berdiri di tengah-tengah jalan dan menahan kenderaan membawa peralatan pemasangan menara yang dalam kawalan polis jam 8.30 pagi pada 6 April 2016.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala Chah tidak diwakili peguam.

Sementara itu, beliau ketika ditemui berkata, keputusan mahkamah pada hari ini adalah kemenangan kepada rakyat.

"Keputusan ini juga adalah untuk semua wakil rakyat supaya mereka (wakil rakyat) lebih berani menyuarakan suara rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 4:40pm
d