mutakhir

1Masjid 1Polis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SERATUS satu masjid di Perlis akan menempatkan seorang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pegawai perhubungan antara pihak polis dengan badan pengurusan masjid melalui program 1Masjid 1Polis.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata, penempatan pegawai dan anggotanya itu bagi mendekatkan polis bersama komuniti dalam membanteras jenayah khususnya yang membabitkan rumah ibadat seperti masjid dan sebagainya.

“Kita akan menempatkan setiap masjid seorang pegawai bagi menjadi ‘orang tengah’ antara polis dan komuniti.

“Melalui penempatan pegawai daripada PDRM di masjid, secara tidak langsung dapat menjalinkan kerjasama dalam mengekang aktiviti jenayah setempat,” katanya ketika ditemui selepas majlis Pelancaran 1Masjid 1Polis di Masjid Al-Rahmaniah, Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan program berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Khairi Hassan, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (uniMAP) Prof Datuk Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurut Azisman, melalui penempatan pegawai polis di setiap masjid, pihaknya dapat menjalankan tugas khidmat dalam sesuatu komuniti memandangkan masjid adalah sebagai pusat berkumpul masyarakat setempat.

“Kita akan pastikan pegawai yang ditempatkan di masjid untuk turun bersolat berjemaah khususnya solat Jumaat dengan berpakaian seragam supaya komuniti dan badan pengurusan masjid kenal akan pegawai yang dilantik melalui program ini di kariah mereka.

“Secara tidak langsung, segala permasalahan yang berlaku di masjid mahupun kawasan sekitarnya dapat disalurkan secara terus dan PDRM akan mengenal pasti sebelum sesuatu tindakan akan diambil,” katanya.

Sementara itu, Azisman turut mencadangkan pihak pengurusan masjid sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan menggalakkan setiap masjid memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Kita tidak menolak bahawa sekarang ini satu ‘trend’ penjenayah menceroboh masjid untuk mencuri tabung masjid, jadi kita memang menggalakkan setiap masjid negeri ini agar membelanjakan sedikit wang bagi pemasangan CCTV.

“Meskipun masjid di negeri ini mempunyai laporan yang begitu kecil terhadap jenayah atau kecurian tabung masjid, namun ini sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 4:51pm
d