mutakhir

'Bantulah kami'

Oleh Nur Ain Musdad

SUAMI isteri warga emas yang menderita penyakit kencing manis terpaksa mengharapkan ihsan serta kasih enam anak mereka untuk meneruskan kehidupan berikutan permohonan mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sebelum ini tidak diluluskan.

Simiun Arah, 78, dan isteri Muslimah Majid, 77, kini menumpang di rumah sewa anak bongsu mereka, Mohd Taufik Simiun, 23, yang sudah berkeluarga di Jalan Sungai Udang Lama, Sungai Udang, Melaka Tengah.

Anak ketiga pasangan berkenaan, Pirmah Simiun, 43, mendakwa mereka pernah menghantar permohonan bagi mendapatkan bantuan untuk ibu bapanya pada 2014, namun kecewa kerana ia tidak diluluskan JKM.

"Kami tidak tahu mengapa permohonan itu tidak diluluskan, sedangkan ibu dan ayah adalah warga emas. Nak hantar borang sekali lagi, ibu cakap tidak perlu kerana dia berasa malu selepas permohonan pertama tidak diluluskan.

"Saya sudah pujuk ibu untuk isi borang kali kedua dan hantar semula tapi dia enggan dan beri alasan bimbang permohonan itu akan ditolak sekali lagi," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, bersempena Program Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, di rumah sewa adiknya, hari ini.

Pada kunjungan itu, Idris turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk wang tunai serta lampin pakai buang untuk kegunaan Simiun.

Pirmah berkata, faktor usia turut mempengaruhi tahap kesihatan ibu bapa mereka, malah sejak lima bulan lalu Simiun terlantar di dalam bilik di rumah sewa anaknya berikutan masalah kencing manis dihidapi semakin serius.

"Bila adik bongsu keluar bekerja, saya akan datang menjenguk ibu dan ayah selain bantu sediakan keperluan mereka atau bawa ke klinik berhampiran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Semua adik-beradik bukanlah dalam kalangan orang senang, saya sendiri tidak ada kereta manakala adik pula hanya memiliki motosikal sahaja. Jadi mahu atau tidak, ibu atau ayah terpaksa berjalan untuk ke klinik berhampiran," katanya.

Menurutnya, setiap bulan mereka enam beradik mengumpul wang untuk membeli barangan dapur dan bayaran rumah sewa, selain memperuntukkan RM300 bagi menyediakan lampin pakai buang serta susu untuk Simiun.

Wanita itu berharap pihak berkenaan dapat menimbang semula permohonan bantuan ibu dan bapanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 6:34pm
d