mutakhir

Bapa 'selamatkan' anak

Oleh Nur Saliawati Salberi

PENGANGGUR dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Melaka, pagi tadi, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis kanabis, tahun lalu.

Tertuduh, Othman Abdullah, 62, sebelum ini berdepan hukuman gantung mandatori atas kesalahan mengedar dadah bersama anak perempuannya Chong Xiang Yi, 24.

Bagaimanapun, tertuduh ditawarkan pertuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S Hassan Badjenid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 304 gram.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Othman turut didakwa, mengikut Seksyen 6 akta sama kerana memiliki sejumlah 7.98 gram dadah jenis sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, di sini, kira-kira jam 1.15 pagi, pada 5 Ogos tahun lalu.

Tertuduh yang diwakili peguam Leng Wie Mun, merayu kepada mahkamah agar hukuman penjara minimum dikenakan serta tidak dikenakan sebat dengan mengambil kira faktor anak guamnya menghidap strok.

Bagaimanapun pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh.

Effizah Ernie turut mencadangkan kepada mahkamah agar pertuduhan terhadap Chong ditarik balik dengan mengambil kira pengakuan bersalah yang dibuat bapanya.

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak, mahkamah di akhir penghakimannya memutuskan Othman dipenjara 10 tahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 39A (2) dan tiga tahun bagi kesalahan Seksyen 6, berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap pada 5 Ogos 2016.

Mahkamah turut memerintahkan Chong dibebaskan dan pertuduhan terhadapnya ditarik.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 6:56pm
d