mutakhir

Pesakit kanser kembali ceria [METROTV]

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

DEEPAVALI lalu tidak bermakna bagi keluarga di Jalan Siram, Butterworth apabila seorang daripada ahli keluarga mereka yang menghidap kanser darah, mengalami kemurungan dan tiada semangat serta seolah-olah sudah mahu mengalah dengan ujian berkenaan.

Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) A Geetha Nair, 47, berkata, anak keduanya R Ghaayathiran, 18, mula dikesan menghidap kanser berkenaan pada 2013.

Dia berkata, remaja berkenaan didapati mulai sembuh kira-kira lima tahun lalu, namun sel kanser itu menyerang kembali ke bahagian otaknya pada Mei tahun lalu.

"Emosinya benar-benar terganggu dan mengalami kemurungan, malah dia patah semangat untuk terus menerima sebarang rawatan termasuk kimoterapi selepas kanser itu kembali menyerang semula dan berada di tahap terakhir.

"Jadi kami sekeluarga mengambil keputusan untuk tidak memikirkan sambutan Deepavali pada tahun ini dengan tidak membeli pakaian baru bagi menjaga perasaannya," katanya.

Berikutan itu, wanita berkenaan mengadu mengenai masalah kemurungan dialami anaknya itu kepada Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Beliau berkata, video klip hasil nukilan Mohd Zaidi semalam yang tular di media sosial berjaya menyuntik semangat serta mengembalikan kekuatan kepada anaknya untuk terus cekal dan tabah melawan kanser berkenaan.

"Selepas video itu dimuat naik dan dihayatinya berulang kali, saya bersyukur apabila dia kembali ceria dan kelihatan semangat untuk melawan kanser itu, malah dia terus menyatakan keinginan untuk membeli pakaian baru bagi menyambut Deepavali kali ini.

"Jadi kami membeli pakaian baru semalam serta memotong kek sempena sambutan hari jadinya pada Disember ini," katanya selepas perjumpaan antara mereka bersama dua pesakit kanser lain dengan Mohd Zaidi di Restoran Nasi Kandar Nasmir di Bandar Perda di Bukit Mertajam, hari ini.

Bagi Ghaayathiran, selepas melihat video berdurasi hampir lima minit itu, dia berasa terharu dan gembira, sekali gus bangkit untuk berjuang melawan sakit berkenaan.

Dia berkata, selain itu, baju kemeja T berwarna hitam dengan lambang 'TEAM ZAIDI' yang dihadiahkan Mohd Zaidi kepadanya, turut menjadi lambang kekuatan dan motivasi pada dirinya.

"Sebelum ini saya tidak pernah berjumpa Mohd Zaidi, selepas melihat kata-kata dalam video itu, membuatkan saya teringin berjumpa dengannya dan menyerahkan kad ucapan sebagai tanda terima kasih.

"Hari ini saya gembira dapat berjumpa dengannya, malah jika sihat nanti saya akan sambung belajar untuk menjadi arkitek bagi membantu ibu pula," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, selepas dimaklumkan semangat Ghaayathiran mulai lemah oleh ibunya, dia mengambil inisiatif mencipta kata-kata berunsur motivasi di dalam video itu untuk menyuntik kembali semangatnya.

"Kanak-kanak kanser itu memerlukan semangat dan kasih sayang serta perhatian daripada masyarakat untuk terus menjalani kehidupan, bukan wang ringgit jadi keutamaan.

"Agak terkejut kerana video itu menjadi inspirasi buat dirinya. Memandangkan kemeriahan Deepavali masih terasa, jadi saya mengatur pertemuan dengannya bersama dua pesakit kanser yang lain sambil menjamu selera di restoran ini," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 8:49pm
d