mutakhir

Pesta sukan rakyat tarik 400 peserta

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

MERIAH dan penuh gelak tawa. Demikian suasana yang dapat digambarkan apabila lebih 400 penduduk kampung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai Pesta Sukan Rakyat di Kampung Takang, Bachok hari ini.

Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bermula jam 8 pagi hingga jam 6 petang itu membabitkan peserta dari tiga kampung iaitu Kampung Takang, Tanjung dan Aur.

Pengerusi KRT, Abdul Aziz Ariffin berkata, program yang masuk tahun keempat itu diadakan bertujuan mendekatkan generasi muda dengan sukan tradisional dan baru selain mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk.

Katanya, hampir 30 sukan rakyat dipertandingkan pada kali ini termasuklah menangkap itik, bola sepak sawah, tarik upih, bowling padang menggunakan buah kelapa dan kukur kelapa.

"Sukan rakyat yang diketengahkan ini juga membolehkan peserta serta penonton menghayati suasana kehidupan desa serta kelasakan anak kampung.

"Sambutan daripada peserta amat menggalakkan terutamanya golongan muda tidak kekok ketika bermain di bendang yang dipenuhi air dan berselut itu," katanya ketika ditemui di Pesta Sukan Rakyat di Kampung Takang.

Peserta acara menangkap itik, Mohd Nazri Arrifin, 37, berkata, ini kali pertama dia menyertai pertandingan menangkap itik.

"Menangkap itik dalam keadaan yang berselut bukan satu perkara yang mudah apatah lagi kami perlu berebut itik yang dilepaskan di dalam bendang.

"Walaupun saya tidak berjaya menangkap seekor itik, namun tetap berasa seronok kerana boleh merasai sendiri pengalamannya," katanya.

Bagi, peserta boling padang, Mariam Sulaiman, 60, berkata, biarpun sudah berusia dia tidak kekok untuk menyertai pertandingan yang turut disertai golongan muda.

"Boling padang adalah permainan tradisional menggunakan buah kelapa sebagai bola dan botol mineral berisi air dijadikan pin.

"Ini adalah kali kedua saya menyertai acara boling padang dan penyertaan kali ini nyata berbaloi apabila mendapat johan dan berjaya mengalahkan peserta lain," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2017 @ 8:59pm
d