mutakhir

Prasyarat berjaya

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Usahawan desa di negara ini perlu memiliki tiga DNA keusahawanan bagi memastikan mereka terus bersaing dalam dunia yang semakin kompetitif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, DNA itu meliputi aspek kreativiti serta inovasi, penggunaan teknologi dan digital selain mempertingkat serta memperkukuhkan daya tahan dalam menghadapi landskap ekonomi baru.

Kata beliau, kreativiti dan inovasi adalah DNA paling mustahak bagi memastikan pengusaha kekal relevan.

“Sama ada kita sedar atau tidak, landskap ekonomi digital memerlukan kita untuk menjadi lebih kompetitif dalam menakluk pasaran baru yang belum diterokai.

“Selain itu, usahawan juga perlu mempertingkatkan serta memperkukuhkan daya tahan kerana ia adalah DNA penting untuk memacu ke arah kejayaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Najib, kerajaan memperkenalkan hab ekonomi digital pertama, Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) menerusi inisiatif Kuala Lumpur Internet City sebagai hab e-commerce yang terhebat dan terunggul di dunia.

Kata Najib, menerusi inisiatif itu, 1,500 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang layak disenaraikan di platform e-dagang, Alibaba.com.

Dalam pada itu, Najib berkata, Skim Pinjaman Ekonomi Desa (SPED) yang diperkenalkan kerajaan berjaya membiayai dan membimbing seramai 3,796 usahawan sejak 2001 dengan peruntukan RM382.4 juta.

“Antara keunikan SPED adalah kemudahan Muqasah yang diperkenalkan kepada peminjam yang layak menerima geran 30 peratus pada nilai dibiayai,” katanya.

Pada majlis sama, Najib turut menyampaikan Anugerah Usahawan Cemerlang SPED kepada lapan pengusaha dengan nilai Muqasah RM308,460.

Sementara itu, KUD 2017 membabitkan 739 penyertaan, iaitu 698 adalah gerai usahawan, 30 gerai syarikat swastaagensi kerajaan dan 11 gerai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pelbagai aktiviti disediakan termasuk jualan produk usahawan desa yang terbahagi kepada enam kluster iaitu makanan dan minuman, produk pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, produk teknologi maklumat dan teknologi maklumat kreatif serta perkhidmatan dan pelancongan.

Turut diadakan, forum Siswapreneur, demonstrasi produk dan kraftangan serta demonstrasi masakan.

Sudut DESAMALL@KKLW turut menyediakan aktiviti Rural Business Challenge, Desamall Online, Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED), Desa Lestari, Road To Hypermarket, program Mobileprenuer dan Pengembaraan RBC 2017.

Selain itu, pertandingan solekan, cari harta karun, karakter animasi, taman permainan kanak-kanak, program Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka, pertunjukan fesyen busana Muslimah dan cabutan bertuah turut disediakan kepada pengunjung.

Disiarkan pada: October 21, 2017 @ 2:28am
d