mutakhir

Terpaut selepas ditegur

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Bermula daripada teguran rakan yang menyuruhnya berpakaian sopan, akhirnya membuka hati gadis dari Kota Kinabalu, Sabah mendalami dan memeluk agama Islam, empat tahun lalu.

Nur Adelia Japri Abdullah, 23, berkata, pada mulanya dia sering berdebat mengenai aurat wanita bersama rakannya sehingga mendorongnya mencari jawapan sebenar menerusi bacaan buku agama.

“Melalui pembacaan buku berkaitan Islam, sedikit demi sedikit saya mula memahami dan mendapat jawapan sebenar mengenai kepentingan menjaga aurat dalam kalangan orang Islam.

“Akhirnya pada November 2013, saya memeluk agama suci ini selepas beberapa kali ke Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS),” katanya ketika ditemui di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Pengkalan Chepa.

Kakaknya, Nur Fatihah Japri Abdullah, 29, terlebih dulu diberi hidayah Allah SWT memeluk Islam ketika berusia 19 tahun.

“Bagaimanapun kakak tidak pernah memaksa saya memeluk Islam kerana mahu saya lakukan dengan kerelaan hati,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik mengakui selepas memeluk Islam dia hanya mempelajari menerusi buku agama dan Internet namun tidak memahami secara mendalam terutama dari segi bacaan dalam solat.

“Saya buat keputusaan belajar di IDIP, Pengkalan Chepa pada 2015.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun di sini, saya menyedari Islam sangat indah sama ada dari sudut agama mahupun kehidupan seharian.

“Insya-Allah selepas ini saya merancang menjadi pendakwah dengan membantu mualaf lain mendalami Islam,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2017 @ 3:57am
d