mutakhir

Pagi pagi dah gaduh

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

POLIS menahan tujuh lelaki selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan di dalam hotel di Jalan Datuk Keramat, Georgetown, hari ini.

Kejadian 10 pagi itu membabitkan sekumpulan lelaki yang datang ke hotel berkenaan untuk berhibur.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila sekumpulan lelaki berkenaan dipercayai dalam keadaan mabuk.

"Seorang daripada suspek dipercayai cuba mengeluarkan sesuatu di dalam baju dan dipercayai senjata api sebelum berlaku pergaduhan.

"Keadaan menjadi agak tegang sebelum salah seorang daripada mereka menghubungi pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Anuar berkata, hasil siasatan lanjut polis menahan empat lelaki di hotel manakala tiga lagi ditahan dikawasan berdekatan.

Beliau berkata, polis tidak menemui sebarang senjata termasuk pistol yang dikhabarkan digunakan salah seorang suspek.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

"Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2017 @ 5:42pm
d