mutakhir

Perompak sempat pilih emas

Oleh Omar Osman

SEBUAH kedai emas kerugian dianggarkan RM400,000 selepas dirompak dua lelaki bersenjatakan pistol yang mengambil masa tidak sampai lima minit untuk melarikan barangan kemas itu hari ini.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, suspek yang bertopi keledar bertindak meluru masuk ke dalam premis itu di Jalan Dewa, Sungai Petani sebelum salah seorang suspek mengacukan pistol ke arah pekerja.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata, seorang dari lelaki itu kemudian melompat masuk ke dalam kaunter pameran manakala rakannya mengawasi pekerja sebelum suspek terus membuka cermin pameran yang terdapat barangan kemas.

"Tanpa memecahkan cermin pameran, lelaki terbabit kemudian mengaut emas yang ada malah sempat memilih emas yang bernilai tinggi sahaja.

"Selepas berpuas hati dengan hasil rompakan suspek terus melarikan diri dan ini kali kedua kedai emas terbabit dirompak dalam tahun ini," katanya.

Beliau berkata, Febuari lalu kedai yang sama turut dirompak tiga lelaki menyebabkan kerugian lebih RM200,000, malah kedai yang sama juga pernah dirompak dua kali beberapa tahun lalu.

"Tiada pengawal keselamatan menyebabkan kedai itu menjadi tumpuan penjenayah untuk melakukan rompakan, namun jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

"Polis juga meneliti rakaman kamera litar tertutup ( CCTV) bagi mengenal pasti suspek yang terbabit melakukan kegiatan itu dan tidak menolak kemungkinan suspek dari kumpulan yang sama yang merompak sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2017 @ 9:33pm
d