mutakhir

Mangsa banjir dipindahkan terus meningkat

Oleh Recqueal Raimi

MANGSA banjir di Kota Belud dan Tuaran terus meningkat kepada 2,377 orang pada 10 malam hari ini, berbanding 2,055 orang 3 petang tadi.

Pemangku Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, di Kota Belud, sebanyak 2,132 mangsa terdiri 1,039 dewasa, 892 kanak-kanak, 88 bayi, 109 warga emas dan empat orang kurang upaya (OKU) membabitkan 705 keluarga.

Katanya, semua mangsa ditempatkan di Dewan Masyarakat Tun Said, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 1, Dewan Gopog Taginambur, Dewan Muhibah Tombol dan SMK Taun Gusi 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Taun Gusi dan Dewan SK Pekan Kota Belud.

"Antara kampung terjejas adalah Kampung Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-sadok, Sembirai, Lingkodon, Linau, Lebak Moyoh, Bobot, Suang Punggur, Menunggui, Song-song dan Karang Benai.

"Selain itu, turut terjejas Kampung Kota Bungan, Tawakadan, Lentigi, Tanjung Wakap, Lebak Engad, Keranjangan, Rangalau, Tombol, Siasai Tamu, Limatok, Pompod dan Kota Belud," katanya dihubungi.

Di Tuaran, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Tuaran, Paulina Francis berkata, sebanyak 245 mangsa terkini berbanding 3 petang tadi iaitu 231 orang.

"Ia terdiri 106 dewasa, 121 kanak-kanak, tiga bayi dan 15 warga emas membabitkan 59 keluarga.

"Semua mangsa ditempatkan di PPS Masjid Kampung Bunga Tenghilan dan SMK Sri Nangka," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2017 @ 10:57pm
d