mutakhir

Untunglah... tahniah Amyra

Oleh Ardini Sophia Sina

Pelakon Amyra Rosli, 26, terharu menerima hadiah kereta baru daripada suaminya, Amar Baharin, 32, sebagai penghargaan kerana hamil sembilan bulan dan melahirkan putera sulung mereka.

Katanya, dia langsung tidak tahu bagaimana urusan dokumentasi itu dilakukan.

Dia dikejutkan dengan hadiah berkenaan di tempat letak kereta kediaman mereka ketika pulang dari hospital, empat hari selepas melahirkan anak.

"Saya langsung tidak dapat bau yang dia sedang melakukan sesuatu untuk memberikan kejutan. Saya tidak tahu bila masa dia uruskan semua. Bukan mudah untuk keluarkan kereta apatah lagi ia memerlukan dokumen tertentu.

"Saya terharu dan gembira menerima hadiah itu. Dia sebenarnya tidak perlu belikan saya hadiah tetapi Amar bimbangkan keselamatan saya dan anak apabila perlu berjalan berdua.

"Dia banyak membaca dan memberitahu kerusi bayi(carseat) terkini tidak sesuai dipasang pada kereta lama. Aspek keselamatan sudah ditingkatkan sesuai dengan perincian kereta terkini," katanya.

Sementara itu, Amyra menafikan dia berkongsi gambar kunci kereta di laman sosial Instagram untuk menunjuk-nunjuk.

"Saya sekadar berkongsi dan bukan niat untuk menunjuk. Ia bukan untuk umumkan saya dapat kereta tetapi lebih kepada album gambar dan untuk memori.

Amyra bersyukur kerana mempunyai suami yang sanggup mengorbankan masa tidurnya demi menjaga bayi mereka yang baru berusia seminggu.

"Amar banyak membaca artikel yang membabitkan bayi terutama bayi tersedak susu. Sebab itulah apabila saya tidur dia akan berjaga sampai pagi.

"Apabila saya dan mama sudah bangun barulah dia tidur. Saya bersyukur mempunyai suami seperti Amar," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2017 @ 11:20pm
d