mutakhir

Berbaloi berlatih 12 jam sehari

Oleh HM Digital

Sepang: Berlatih setiap hari seawal jam 8 pagi hingga 8 malam selama dua tahun.

Itu dilakukan penuntut Universiti Automotif Malaysia DRB Hicom Mohd Asyraff Yusni, 22, sebagai persediaan bagi memasuki Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2017 dalam bidang teknologi automotif berlangsung di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu bermula 14 hingga
19 Oktober lalu.

Kesungguhan dan pengorbanan pemuda terbabit terbalas apabila dia memenangi pingat gangsa dalam pertandingan berkenaan selain diiktiraf peserta terbaik Malaysia.

Mohd Asyraff berkata, ketika pertandingan, perasaannya turut bercampur memandangkan terlalu memikirkan hasil kerja yang dihasilkan.

“Sepanjang pertandingan berlangsung, saya resah sehingga tidak lalu makan dan tidur kerana bimbang dengan hasil yang akan dipertandingkan.

“Bagaimanapun, saya gembira apabila latihan selama dua tahun akhirnya berjaya mengharumkan nama negara walaupun hanya membawa pulang pingat gangsa,” katanya ketika ditemui pada sambutan kepulangan kontinjen Malaysia yang menyertai WSC 2017
di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Kepulangan kontinjen negara disambut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Mutalib.

Seorang lagi peserta yang membawa pulang pingat gangsa ialah penuntut Universiti Taylor Lia Jia Yi, 21, yang menyertai pertandingan itu dalam bidang masakan.

Jia Yi berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya sebagai persediaan memasuki pertandingan berkenaan.

“Terima kasih kepada jurulatih, keluarga dan pihak kementerian yang sentiasa bekerja keras dalam memastikan saya memperoleh kejayaan.

“Selepas ini, saya akan meneruskan latihan untuk menyertai pertandingan Young Chef Olympiad 2018
di India pada awal tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Richard berkata, dua pemenang terbabit masing-masing menerima insentif RM10,000 dan Diploma Lanjutan Kemahiran
di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 7:17am
d