mutakhir

Untuk ayahku

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Perasaan terkilan tidak sempat mengubati bapa yang meninggal dunia Disember lalu kerana penyakit buah pinggang menjadi pendorong buat penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dengan fokus kepada perubatan buah pinggang.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Muhammad Fauzan Abdul Hamid, 25, dia mahu mendalami bidang berkenaan bagi membantu memulihkan seramai mungkin pesakit buah pinggang seperti arwah bapanya, Dr Abdul Hamid Saleh.

“Saya memilih bidang perubatan kerana ibu (Umi Suraiya Wahab) mahu melihat anak bergelar doktor dan sebagai anak sulung menjadi tanggungjawab saya menunaikan hajat ibu.

“Pada masa sama, arwah ayah disahkan menghidap penyakit buah pinggang sekali gus menyebabkan minat saya dalam bidang perubatan semakin mendalam dengan niat mahu mengubatinya.

“Bagaimanapun, Allah lebih sayangkan arwah apabila dia dijemput Ilahi selepas hampir empat tahun menderita sebelum sempat saya mengubatinya. Sebab itu saya mahu melanjutkan pengajian dengan fokus dalam perubatan buah pinggang kerana mahu merawat pesakit seperti ayah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-9 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, semalam.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Mohammad Farid Abdul Talib, 24, terharu dengan pengiktirafan diberikan pihak UniSZA kepadanya.

Mohammad Farid yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin) bercita-cita mahu melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) demi menggapai impian bergelar pensyarah.

“Saya suka berkongsi dan memberi pada mereka yang ingin tahu sesuatu dan saya rasa ia antara sebab menjadi pendidik kerana mahu berkongsi ilmu.

“Perjalanan saya masih jauh dan saya berusaha sebaik mungkin untuk merealisasikan impian ini,” katanya.

Seramai 2,359 graduan UniSZA diraikan pada majlis konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari sehingga Isnin ini dengan 18 graduan PhD, sarjana (59), sarjana muda (1,321) dan diploma (961).

Istiadat pembukaan majlis itu disempurnakan Canselor UniSZA, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Turut berangkat Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakanda baginda, Tengku Fatimatuz Zahra’.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria, Pro Canselor UniSZA Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Md Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Naib Canselor Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif.

UniSZA turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-undang kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai pengiktirafan atas sumbangannya dalam bidang berkenaan dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan dan Kepimpinan kepada Gabenor Sulawesi Selatan, Indonesia Dr H Syahrul Yasin Limpo.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 7:27am
d