mutakhir

Abai rokok seludup RM113,000

Oleh Nur Saliawati Salberi

Alor Gajah: Sebanyak 11,000 karton rokok putih pelbagai jenama bernilai lebih RM113,000 dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Linggi (DM5) hasil pemeriksaan terhadap sebuah bot di perairan Tanjung Gemok, Lukut, Negeri Sembilan, jam 5 pagi semalam.

Pengarah Maritim DM5 Kepten Maritim Ahmad Faridi Ferdaus berkata, rokok berkenaan dipercayai diseludup sindiket dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, sebelum itu, pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran bot yang mencurigakan dipercayai dari Indonesia yang memasuki perairan negara lalu mengekorinya selama sejam.

“Bot berkenaan dipintas di perairan Tanjung Gemok. Bagaimanapun, lima lelaki dalam bot berkenaan dapat meloloskan diri ke hutan paya berhampiran sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan dalam bot menemui rokok putih bernilai RM113,080 mengikut harga pasaran semasa,” katanya pada sidang media di pejabat APMM DM5, Kuala Linggi, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut menyita bot berkenaan yang dilengkapi tiga enjin jenis Yamaha dianggarkan bernilai RM250,000 untuk siasatan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan RM363,080

“Kami akan terus memantau aktiviti sindiket penyeludupan rokok itu dan memerlukan kerjasama daripada masyarakat maritim untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 7:35am
d