mutakhir

Rindu menganyam guna tali pengikat kotak

Oleh HM Digital

Kuala Berang: “Sebelum ini saya mampu menganyam bakul menggunakan tali pengikat kotak, kertas surat khabar dan tali rafia namun selepas diserang demam panas, ingatan saya semakin merosot dan sukar membuat anyaman seperti dulu,” kata Jarah Ismail, 48, dari Kampung Basun, di sini.

Hasil anyaman yang dibuat sebelum ini mampu menambah pendapatan keluarga dan sekiranya kesihatan beransur pulih, dia ingin meneruskan kerja seperti dulu.

Kebiasaannya, pelanggan membawa tali pengikat kotak untuk dianyam dan ada juga tali yang dicarinya sendiri selain penggunaan tali rafia.

“Wang hasil anyaman boleh menambah pendapatan keluarga namun kini saya terpaksa berhenti kerana kesihatan tidak mengizinkan berikutan kerja anyaman memerlukan ketelitian.

“Wang anyaman dapat juga membantu kerana suami (Isa Ahmad, 59) hanya bekerja kampung dengan pendapatan antara RM600 dan RM700 sebulan bergantung kepada kerja yang dilakukannya,” katanya.

Menurutnya, dia pernah mengikuti kursus anyaman bersama MARA sebelum ini dan suaminya juga banyak membantu mencari rotan dan buluh untuk membuat anyaman.

Pelanggannya lebih tertarik dengan anyaman tali pengikat kotak manakala dua jenis tali digunakan iaitu tali kasar dan halus untuk membuat anyaman tudung saji.

“Saya rindu untuk kembali menganyam bakul dan tudung saji menggunakan tali pengikat kotak kerana produk berasaskan bahan terbuang itu jarang digunakan,” katanya.

Isa berkata, sejak sakit beberapa tahun lalu, isterinya itu terpaksa berhenti menganyam bakul dan tudung saji kerana tidak dapat fokus dengan kerja menganyam.

“Saya harap isteri sembuh seperti sedia kala dan mampu menganyam seperti dulu apatah lagi kerja itu dilakukan isteri sejak muda dan mampu menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 7:44am
d