mutakhir

30 penderma darah dapat tiket bola percuma

Oleh HM Digital

Alor Setar: Demi tanggungjawab untuk membantu sesama manusia, seorang peniaga Khairul Anwar Hussein, 27, bukan saja menderma darah malah menjadi penderma bertuah apabila mendapat sekeping tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Kedah dan FELDA United, semalam.

Dia antara 30 penderma darah bertuah yang menerima tiket itu pada program Tabung Darah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Stadium Darul Aman, di sini.

Khairul Anwar yang berasal dari Kuala Kedah berkata, dia tidak menyangka niatnya sekadar untuk membantu dengan menderma darah dibayar dengan penghargaan yang begitu bermakna.

“Saya sebenarnya menunggu di pekarangan stadium sejak jam 6 pagi lagi kerana hendak beratur untuk mendapatkan tiket dan apabila kaunter tiket dibuka, saya beratur dan berjaya mendapatkan sekeping tiket bagi perlawanan itu.

“Selepas berjaya memperoleh tiket, saya ternampak bas Tabung Darah HSB yang diletakkan di pekarangan stadium
dan terfikir untuk mendermakan darah kepada insan yang memerlukan. Tanpa berfikir panjang ke bas itu untuk menderma darah.

“Namun begitu, saya tidak menyangka sama sekali apabila menderma darah, saya sekali lagi diberikan ganjaran sekeping tiket untuk malam ini (semalam),” katanya ketika ditemui
di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini, semalam.

Khairul Anwar berkata, satu tiket tambahan yang diperoleh itu diberikan kepada rakan untuk bersama-samanya menyaksikan perlawanan itu.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Tabung Darah HSB Dr Azizul Hassan berkata, pihaknya menyediakan 30 tiket untuk program berkenaan yang menggunakan bas hasil derma Yayasan Sultanah Bahiyah dan sambutan diterima sungguh menggalakkan apabila orang ramai terutama golongan muda berkumpul di hadapan bas sejak jam 8.30 pagi.

“Malah daripada 37 orang itu juga, tujuh hadir secara sukarela dan menolak untuk menerima tiket bola sepak yang ditawarkan sebagai insentif,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 7:44am
d