mutakhir

Kantoi kegiatan malam minggu

Oleh Mohd Hasbi Sidek

SERAMAI 13 individu ditahan termasuk remaja perempuan berusia 17 tahun dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuh Raya PLUS dekat Plaza Tol UPM, di sini, awal pagi tadi.

Operasi yang bermula 1 pagi itu, mensasarkan aktiviti mat rempit yang melanggar pelbagai kesalahan lalu lintas.

Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, operasi bersepadu itu turut mendapat kerjasama daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak PLUS.

"Operasi dijalankan dari Kilometer 310, Plaza Tol Sungai Besi hingga hingga susur masuk dekat Plaza Tol UPM.

"Dalam operasi ini kami memeriksa 268 motosikal dan mengeluarkan 247 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik," katanya.

Beliau berkata, seramai 13 individu ditahan untuk siasatan lanjut kerana didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan dalam keadaan berbahaya.

"Dalam operasi sama, dua lelaki didapati positif dadah selepas AADK melakukan ujian air kencing terhadap 25 pengguna jalan raya," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 11:47am
d