mutakhir

APM siap siaga

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

SEJUMLAH 1.7 juta anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedia digerakkan pada bila-bila masa untuk membantu menghadapi bencana di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya APM Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya berkata, pihaknya yakin dapat membantu melancarkan proses menghulur bantuan berikutan mempunyai anggota termasuk sukarelawan yang terlatih.

Katanya, mereka menjalani latihan sepanjang tahun mengikut modul yang disediakan.

"Kita sekarang berada dalam Monsun Timur Laut (MTL) dan mengikut ramalan, akhir tahun ini, negeri di Pantai Timur akan mengalami banjir.

"Bagi APM, kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi bencana alam itu dan anggota kami sudah diberi latihan mencukupi," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Watikah Lantikan Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) di Kolej Sultan Ismail, Kota Bharu, petang semalam.

Majlis itu turut menyaksikan Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya APM dan juga Penaung APM Kelantan.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan Angkatan, Ibu Pejabat APM, Ahmad Afandi Mohamad; Pengarah APM Kelantan Zainuddin Hussin dan Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.

Dalam pada itu, Azmy berkata, buat julung kalinya APM melantik penaung pertama di peringkat negeri dimulai Kelantan.

"Kelantan merupakan negeri pertama yang mempunyai jawatan itu (penaung) dan selepas ini, kita akan turun ke setiap negeri bagi menyempurnakan watikah pelantikan penaung APM.

"Kita mensasarkan tiga juta keanggotaan menjelang akhir 2018 dan untuk itu, saya menyeru orang awam mendaftarkan diri sebagai anggota sukarela APM.

"Apabila kita mempunyai satu angkatan yang besar, ia akan beri kekuatan kepada negara, terutamanya dalam pengurusan bencana," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 12:43pm
d