mutakhir

Awat jadi lagu ni?

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

ANGGOTA polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang yang didakwa memukul dan mengacu pistol ke arah seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian 6 petang Khamis lalu, lelaki berusia 25 tahun itu yang memandu lori pulang ke rumah mendakwa ditahan anggota polis terbabit yang menunggang motosikal sebelum terus memukul dan mengacu pistol ke arahnya di tepi jalan Kampung Tok Set, Jalan Kubur Panjang, Pendang.

Rakannya yang menyaksikan kejadian itu kemudian bertindak meleraikan pergaduhan mereka sebelum membuat laporan di Balai Polis Kubur Panjang, Pendang.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusof berkata, pihaknya menahan anggota polis itu susulan laporan polis dibuat lelaki terbabit yang mendakwa dipukul anggota polis.

Menurutnya, di dalam laporan itu, pengadu turut menyatakan dia diacu pistol dan mengalami kecederaan akibat pergaduhan itu.

"Kedua-dua mereka yang terbabit dan saksi kejadian sudah diambil keterangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 323 Kanun Keseksaan.

Asri berkata, pihak polis ingin menasihatkan kepada semua pihak supaya tidak membuat spekulasi dan andaian sendiri selagi kes belum diselesaikan.

"Walaupun kejadian ini membabitkan anggota polis, siasatan dijalankan mengikut prosedur ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 2:46pm
d