mutakhir

Bekas pengawal didakwa ahli geng [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

DUA bekas pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak dua tahun lalu.

Tertuduh , S Jagan, 23, dan S Ramachandran, 26, yang berasal dari Sungai Petani dibawa ke mahkamah pada 9 pagi dan dikawal ketat anggota dari Unit Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Jagan didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 35 Sungai Petani awal Januari 2015 hingga 27 September 2017 manakala Ramachandran pula didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah berkenaan pada awal Januari 2015 hingga 26 September 2017.

Bagi pertuduhan itu, kdua-dua tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 130V(1), Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah subseksyen sama dengan membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara jika disabitkan kesalahan.

Semua tertuduh mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemalini Nadarajan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Priscilla bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh dan menetapkan 29 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula dimana kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 2:55pm
d