mutakhir

Mayat tergantung pada pokok

Oleh Amran Yahya

KEHILANGAN lelaki dari Kampung Orang Asli Bari, Johol, Kuala Pilah sejak tiga hari lalu terjawab apabila mayatnya ditemui tergantung pada pokok dalam hutan di Kampung Senarak Inas, di sini, semalam.

Mayat lelaki berusia 34 tahun dan belum berkahwin itu ditemui abang iparnya, Nizam Damut, 40 dalam keadaan menyayat hati.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, Nizam dan ahli keluarga menjalankan pencarian tiga hari lalu sebelum meredah hutan pada 1.10 tengahari, semalam.

"Sebaik merentasi hutan sejauh dua kilometer dari jalan utama, mereka terhidu bau busuk. Tidak jauh daripada lokasi menemukan beg sandang, pakaian, sumpit dan jaket dipercayai milik adik iparnya," katanya.

Haslah berkata, selepas puas mencari, lelaki itu dikejutkan apabila mayat adik iparnya ditemui tergantung pada sebatang pokok.

"Sebaik menyedari mayat itu membabitkan ahli keluarganya, dia menghubungi pihak polis," katanya.

Menurut Haslah, sepasukan anggota bergegas ke lokasi dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

"Mayat ditemui dalam keadaan berulat dan dipercayai meninggal dunia sejak tiga hari lalu sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut sama ada ia membabitkan bunuh diri atau jenayah.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 4:10pm
d