mutakhir

Bantu kadet JPJ dapat lesen motosikal

Oleh Ibrahim Isa

KIRA-KIRA 10,000 ahli Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan pelajar berusia 16 tahun di seluruh negara berpeluang memperoleh lesen motosikal B2 melalui Program MyLesen Kadet JPJ akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, selain bertujuan melahirkan remaja berpendidikan, berkepimpinan dan tahu undang-undang jalan raya, pihaknya memperkenalkan program berkenaan bagi membantu semua ahli kadet memiliki lesen motosikal.

Katanya, namun mereka tetap perlu mengikuti pelbagai program termasuk kursus, latihan menunggang motosikal dan menduduki ujian yang akan diadakan di sekolah.

"Program itu akan diperkenalkan serentak di seluruh negara kepada ahli Kadet JPJ dengan bayaran serendah RM199 sebagai semua proses untuk mendapatkan lesen B2.

"Sehingga ini, 222 sekolah menengah di seluruh negara menawarkan Kadet JPJ dengan keahlian 9,689 pelajar termasuk 22 sekolah membabitkan 1,168 ahli di Johor," katanya selepas menutup Program Perkhemahan Kadet JPJ Negeri Johor di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Johor (Kem Tasek Utara) di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Azman Adnan.

Wan Ahmad Uzir berkata, siasatan mendapati kira-kira 60 peratus penunggang motosikal berusia 16 hingga 30 tahun tidak memiliki lesen B2 dan ia perlu dikurangkan bagi memastikan keselamatan semua pengguna terjamin.

“Kita jangka pelaksanaan program ini bakal meningkatkan lagi bilangan ahli Kadet JPJ di seluruh negara kerana ia turut meringankan beban bagi mereka yang kurang berkemampuan mendapatkan lesen motosikal," katanya.

Pada masa sama katanya, JPJ mengharapkan bantuan pengguna lain mengesan kesalahan pengguna lalu lintas dan menyerahkan bukti kepada JPJ sebelum tindakan dikenakan terhadap pesalah.

Katanya, pembabitan pengguna jalan raya mengesan kesalahan bukan saja membantu pihaknya malah menjadikan jalan raya lebih selamat kepada semua pengguna.

Program julung kali diadakan itu bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini membabitkan penyertaan 245 kadet JPJ daripada tujuh sekolah di negeri ini bertujuan memperkasakan displin dan jati diri dengan mematuhi undang-undang serta keselamatan jalan raya.

Mereka bukan saja didedahkan dengan keselamatan jalan raya, malah bertindak sebagai pembimbing kepada rakan sebaya supaya mematuhi peraturan.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 4:23pm
d