mutakhir

Lampu telefon selamatkan dua pemancing

Oleh Zaid Salim

CAHAYA lampu telefon bimbit menyelamatkan dua pemancing selepas bot gentian kaca mereka hampir karam dibadai ombak di perairan Pulau Kapas, Marang, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa yang juga pemilik bot, Syed Zamri Syed Ali, 46, dari Chendering bersama rakannya, Ahmad Fadhil Mat Rani, 35, dari Panji Alam dalam perjalanan pulang.

“ Ketika itu laut bergelora dan bot hampir karam.

“Nasib baik telefon bimbit saya berfungsi apabila cahaya lampu telefon membolehkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan kedudukan kami,” katanya.

Mereka dibantu APMM dan dibawa ke jeti APMM Pulau Kambing.

Menceritakan kejadian, Syed Zamri yang sudah berpengalaman selama 25 tahun sebagai nelayan tradisional berkata, dia bersama Ahmad Fadhil turun ke laut pada 7.30 pagi.

"Sepanjang kami di laut, cuaca baik dan langit cerah sehingga petang.

"Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang pada 6.30 petang, tiba-tiba angin kencang dan laut bergelora menyebabkan bot kami hampir karam dibadai ombak setinggi empat hingga lima meter," katanya.

Syed Zamri berkata, dia cuba meningkatkan kelajuan bot namun gagal sebaliknya bot berpusing beberapa kali menyebabkan dia membuat keputusan berpatah balik ke kawasan unjang tidak jauh dari tempat kejadian.

"Tiba di kawasan unjang, kami mengikat bot pada pelampung unjang dan menghubungi rakan di darat untuk mendapatkan bantuan APMM," katanya.

Sementara itu, Pengarah APMM Daerah Maritim (DM9), Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, pihaknya segera ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 6.45 petang.

Menurutnya, walaupun lokasi kejadian hanya lapan batu nautika dari Kuala Terengganu namun keadaan laut bergelora menyebabkan pihaknya terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk tiba di lokasi.

"Kami mengambil masa yang agak lama untuk mengesan kedudukan bot mangsa kerana cuaca gelap dan laut bergelora manakala mangsa pula tiada lampu kecemasan sebaliknya hanya bergantung kepada cahaya lampu telefon bimbit.

"Bot mangsa berjaya ditemui pada 8.35 malam dan kami menundanya sebelum sampai ke pada 10.15 malam," katanya.

Rahim menasihatkan nelayan membuat persiapan lengkap, termasuk memastikan bekalan diesel mencukupi serta membawa peralatan kecemasan.

“Bot nelayan khususnya nelayan bot fiber diwajibkan ada lampu kecemasan bagi memudahkan usaha mengesan mereka jika berlaku kecemasan," katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2017 @ 6:00pm
d