mutakhir

Hospital kanser wanita

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sebuah hospital kanser khusus untuk wanita perlu diwujudkan bagi menyelamatkan lebih banyak nyawa terutama mereka yang kurang berkemampuan di negara ini.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (WITUS) Shiella Tukimin berkata, menyedari rawatan kanser memerlukan perbelanjaan besar, kebanyakan wanita tidak mahu melakukan pemeriksaan dan membuat rawatan lebih awal hingga mengancam nyawa mereka.

“Ramai wanita di luar sana menghadapi dilema kekangan kewangan menjadi faktor mereka enggan melakukan pemeriksaan dan rawatan awal.

“Pilihan yang ada cuma hospital kerajaan, namun mereka perlu menunggu giliran untuk tempoh lama sedangkan rawatan kanser perlukan tindakan segera kerana boleh merebak pantas.

“Saya harap bajet kali ini kerajaan memperuntukkan penyediaan perkhidmatan hospital kanser khusus untuk wanita dengan mengenakan caj minimum dan berpatutan,” katanya, semalam.

Menurutnya, kewujudan hospital berkenaan adalah keperluan mendesak kerana berdasarkan pengalaman WITUS, 20 peratus daripada 600 ahli mereka adalah pesakit kanser yang berdepan masalah kewangan.

“Saya dapat tahu ada antara mereka sanggup berhutang bagi menampung kos pemeriksaan dan rawatan di hospital swasta kerana tidak sanggup menunggu giliran di hospital kerajaan.

“Saya percaya tidak mustahil di luar sana masih ramai lagi wanita senasib,” katanya.

Pada masa sama menurut Shiella, kerajaan perlu menyediakan lebih banyak peluang latihan kemahiran kepada wanita dan ibu tunggal berstatus warga emas terutama yang banyak tanggungan untuk menjana pendapatan sendiri.

“Pada masa ini, peluang itu banyak diberikan kepada wanita berusia bawah 60 tahun sedangkan ramai warga emas selepas usia berkenaan memerlukan kemahiran untuk menjana pendapatan.

“Ramai wanita warga emas terutama ibu tunggal yang menetap di bandar perlu bekerja untuk menyara sisa hidup atas pelbagai faktor termasuk tidak memiliki waris daripada kalangan orang senang.

“Jadi, jika kerajaan menyediakan lebih banyak peluang latihan kemahiran kepada golongan ini, saya percaya ia dapat membantu mereka berdikari bagi meneruskan kelangsungan hidup mengikut keupayaan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 9:59am
d