mutakhir

Suspek serang remaja ditahan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

LELAKI ditahan polis, hari ini, selepas disyaki terbabit dalam kejadian remaja parah diserang 15 lelaki di flat di Bandar Seri Alam, Johor Bahru, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira 9 pagi tadi di sekitar kawasan Bandar Seri Alam selepas identitinya disiarkan menerusi Facebook (FB) rasmi Polis Johor, semalam.

"Daripada 15 lelaki yang terbabit dalam serangan berkenaan, kita dapat mengenal pasti seorang daripada mereka dan identitinya kita siarkan semalam menerusi FB Polis Johor sebagai individu dikehendaki.

"Pagi ini, kita dapat menahan suspek terbabit bersama kereta di Bandar Seri Alam dan hasil siasatan awal, suspek adalah penduduk sekitar lokasi kejadian serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 2.05 pagi itu, mangsa yang cedera di belakang badan dan kepalanya dikatakan ada menegur dan menasihati dua daripada 15 suspek berkenaan kerana memasang lagu dan muzik dengan kuat menggunakan pembesar suara kereta yang diletakkan di kawasan flat berkenaan.

Akibat teguran itu, berlaku pertengkaran dan pergaduhan kecil antara mereka sebelum datang lagi sekumpulan lelaki lain dipercayai rakan suspek yang awal itu.

Semua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an mengerumuni mangsa dan terdapat beberapa suspek membawa parang dan pisau menyerang mangsa seorang diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dengan senjata.

Berita berkaitan:

15 serang satu

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 11:54am
d