mutakhir

Buli sudah bah naik

Oleh Amniera Naziera Amran

AKTIVITI pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dibenarkan semula hari ini selepas dihentikan sejak seminggu lalu akibat cuaca buruk yang melanda Sabah.

Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais menerusi akaun Twitternya berkata, aktiviti pendakian ke puncak gunung itu kembali dibenarkan pada pagi hari ini.

"Sebanyak 41 daripada 71 pendaki berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu hari ini (selepas) keadaan cuaca kembali pulih, masih berangin dan sejuk tetapi kering," katanya.

Pada Jumaat lalu, Jamili berkata Taman-Taman Sabah memutuskan menghentikan aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu buat sementara waktu, akibat cuaca buruk.

Ia termasuk angin kencang dan hujan lebat menyebabkan jarak penglihatan terhad di gunung berkenaan.

Beliau berkata, hanya pendakian ke puncak dihentikan, bagaimanapun pendakian ke Panalaban pada ketinggian 3,272 meter masih dibenarkan.

Panalaban adalah lokasi persinggahan di mana pendaki berehat sebelum meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dan mempunyai kemudahan penginapan Laban Rata Rest House.

Keputusan itu berdasarkan pemantauan kepada cuaca harian dan maklumat daripada malim gunung.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 1:28pm
d