mutakhir

Jumlah mangsa banjir kekal

Oleh Recqueal Raimi

JUMLAH mangsa banjir di Kota Belud kekal 2,132 orang, pada 9 pagi, berbanding 10 malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tuaran/Kota Belud, Paulina Francis berkata, mereka terdiri daripada 704 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Ia terdiri 1,039 dewasa, 892 kanak-kanak, 88 bayi, 109 warga emas dan empat orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Mangsa masih ditempatkan di PPS di Dewan Tun Said; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Said; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi 1; Dewan Gapong Taginambur; Dewan Muhibbah Tombol; SMK Taun Gusi 2; Sekolah Kebangsaan (SK) Taun Gusi dan Dewan SK Pekan Kota Belud.

Dalam pada itu, Paulina berkata, banjir di daerah Turan pulih selepas satu lagi PPS ditutup 9 pagi, hari ini.

Beliau berkata, 27 mangsa banjir di PPS SMK Sri Nangka sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Semalam, PPS di Masjid Kampung Bunga Tenghilan ditutup pada 11.15 pagi dan pada pagi ini satu lagi ditutup sekali gus tiada lagi mangsa banjir di tempatkan di PPS di daerah berkenaan," katanya.

Bagaimanapun katanya, anggota APM masih menjalankan pemantauan secara berkala dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) masih dibuka sebagai langkah keselamatan.

"Atas faktor keselamatan berikutan hujan pagi ini, APM tetap memantau di lokasi 'hotspot' dan kampung lain yang pertama kali terjejas dengan banjir sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 3:49pm
d