mutakhir

Suami belasah isteri didakwa

Oleh Helmy Abd Rahman

BURUH didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menampar dan menendang isterinya, minggu lalu.

Abdul Muhsin Aziz , 39, didakwa mengikut mengikut Seksyen 326A kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara selama dua tahun jika sabit kesalahan.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa, Tengku Nur Sufrina Tengku Mazman, 25, dalam kejadian di sebuah rumah di Banggol Peradong, Manir, 7.30 malam, 18 Oktober lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin .

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Oktober depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang wanita bukan hanya ditampar dan ditumbuk tetapi turut disepak suaminya dalam satu perselisihan faham di sebuah rumah di Kampung Banggol Peradong, Manir, di sini, Rabu lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 7.30 malam ketika mangsa berusia 25 tahun dikatakan sedang mengemas rumah sebelum dikejutkan dengan kepulangan suspek berusia 39 tahun dalam keadaan marah.

Menurut sumber, suspek dikatakan tiba-tiba memaki hamun mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri berkenaan.

Katanya, pertengkaran pasangan berkenaan bertukar serius apabila suspek yang gagal mengawal perasaan marah bertindak menampar pipi kanan mangsa.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 5:11pm
d