mutakhir

Jumpa janin di tepi jalan kononnya

Oleh Junaidi Ladjana

HELAH penuntut kolej swasta kononnya menemui janin di tepi jalan di Sepanggar, Kota Kinabalu, semalam, terbongkar selepas ia didapati hasil hubungan suspek dengan kekasihnya.

Menurut sumber, dalam kejadian 8.50 pagi itu, lelaki berusia 24 itu membawa janin perempuan itu ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas.

Bagaimanapun, pemeriksaan doktor yang curiga dengan maklumat lelaki itu mendapati bahawa ia baru saja dilahirkan sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada polis.

"Lelaki yang membawa janin itu mengatakan menemuinya di tepi jalan di kawasan Taman Sri Maju dalam plastik hitam.

"Lelaki terbabit kemudian mengambilnya dan membawanya ke hospital untuk pemeriksaan," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki dan teman wanitanya berusia 23 tahun sudah menjalinkan hubungan dua tahun lalu dan kedua-dua mereka adalah pelajar kolej yang sama.

"Selepas menjalinkan hubungan, wanita itu didapati hamil lalu bercadang untuk menggugurkan kandungan kerana kedua-dua mereka masih belajar.

"Pasangan itu berpakat membeli ubat untuk menggugurkan kandungan di pasar di Kota Kinabalu Sabtu lalu. Semalam kandungan itu gugur ketika wanita itu berada di dalam tandas rumah sewa mereka.

"Disebabkan panik, lelaki itu terus membawanya terbabit ke hospital dan mendakwa menenui janin itu di tepi jalan,"

katanya.

Sumber berkata, janin perempuan berusia antara 24 hingga 26 minggu dan sudah meninggal dunia sebelum dibawa ke HWKK.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abdul Rakman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan lelaki dan wanita yang masih menerima rawatan di hospital itu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Kesekaan kerana menyembunyikan kelahiran," katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 9:30pm
d