mutakhir

Padah usik meter elektrik

Oleh Mahaizura Abd Malik

MAHKAMAH Majistret Johor Bahru hari ini membenarkan tuntutan kos kerugian hasil Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM83,648.67 terhadap pemilik restoran makanan Taiwan yang didakwa mengusik pepasangan meter di premis perniagaannya, lima tahun lalu.

Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan, Goh Zha Lang Restaurant Taiwan Sdn Bhd dengan kos mengikut skala.

Dalam penghakimannya, TNB berjaya membuktikan terdapat kesan usikan berlaku pada pepasangan meter elektrik ketika kakitangan TNB membuat pemeriksaan ke premis perniagaan itu selama lima kali pada 2012 dan 2013.

TNB diwakili peguam Mohamad Zaki Abdul Shukor daripada Tetuan Othman Hashim & Co (Johor Bahru) yang mengemukakan writ saman pada 13 Mac lalu ke atas pengusaha restoran berkenaan.

Pemeriksaan mendapati berlaku beberapa usikan termasuk pendawaian masuk dan keluar bagi fasa biru diterbalikkan, litar voltan fasa biru diusik dalam meter, perintang R2,R10 dan R19 ditukar nilainya, litar arus dan voltan diusik serta wayar litar arus fasa biru diputuskan.

Defendan diwakili peguam SP Low dari Tetuan Loh & Renga dan perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan dua hari pada 16 Ogos dan 18 September lalu.

Sepanjang perbicaraan, TNB mengemukakan 13 saksi manakala defendan seorang saksi.

Sementara itu, satu lagi tuntutan TNB berjumlah RM59,996.36 terhadap CCS Corporation Sdn Bhd juga dibenarkan Mahkamah Majistret Kluang, hari ini.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap kilang pembuatan besi acuan di daerah itu yang didakwa melakukan pengusikan meter, 25 November 2014.

TNB diwakili peguam Mohamad Zaki Abdul Shukor daripada Tetuan Othman Hashim & Co (Johor Bahru) yang mengemukakan writ saman pada 1 Mac lalu ke atas pengusaha kilang terbabit selepas pemeriksaan mendapati berlaku usikan.

Terdapat kesan pemutusan pada panel alat ubah arus (CT) bagi fasa kuning dan biru serta skru bagi kedua-dua fasa dilonggarkan.

Sementara itu, syarikat itu diwakili peguam Wong Tat Fey daripada Tetuan TF Wong & Tee yang melalui perbicaraan penuh selama tiga hari pada 10 Ogos serta 19 dan 20 September lalu.

Sepanjang perbicaraan, TNB mengemukakan enam saksi manakala defendan empat saksi.

Dalam penghakiman berasingan itu, TNB berjaya membuktikan pepasangan meter kedua-dua premis perniagaan di dua daerah berkenaan diusik manakala defendan gagal menyangkal keterangan prima facie plaintif berkaitan amaun terkurang caj dan kerugian hasil.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 9:47pm
d