mutakhir

Bekalan air tidak terjejas [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BERLAKU kebocoran paip utama mengakibatkan limpahan air di Lebuhraya Pasir Gudang berhampiran persimpangan Plentong dekat Johor Bahru, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor (SAJ) Ranhill Sdn Bhd, Jamaluddin Jamal berkata, pihaknya mengesahkan berlakunya kebocoran itu yang berlaku kira-kira 3 petang.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat kesilapan mekanikal daripada kerja pelebaran jalan raya yang dibuat sekitar kawasan berkenaan.

“Kami sudah menerima laporan petang tadi dan disahkan memang berlaku kebocoran paip utama berdiameter 1,200 milimeter (mm) di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, keadaan sudah terkawal dan petugas kami juga sudah berada di lokasi. Bekalan air juga sudah ditutup untuk mengawal limpahan dan kini, hanya tinggal kerja pembaikan sahaja,” katanya.

Jamaluddin berkata, kerja membaik pulih paip berkenaan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang tengah malam ini.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang arahan catuan air akan dikeluarkan kerana bekalan air yang ada tidak terjejas dan masih stabil.

“Walapun kita sudah menutup paip berkenaan, tetapi tiada masalah kerana kerja pembaikian ini hanya mengambil masa sekejap sahaja.

"Bekalan air yang ada masih mencukupi untuk menampung kegunaan penduduk,” katanya.

Disiarkan pada: October 23, 2017 @ 10:00pm
d