mutakhir

Didakwa labur emas 'ghaib'

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam, atas tuduhan memperdaya dengan menawarkan skim pelaburan emas tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM200,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Lim Seng Hin, 54, dari Taman Duyong Permai, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik semua tujuh pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, dia didakwa memperdaya dengan menawarkan skim pelaburan perniagaan emas tidak wujud hingga mendorong mangsa berusia 57 tahun menyerahkan wang tunai RM10,000, RM10,000, RM60,000, RM40,000, RM100,000, RM20,000 dan RM20,000 yang keseluruhannya berjumlah RM260,000.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi berasingan di Cheng Height Resort dan Public Bank, Malim Jaya antara Disember 2014 hingga Julai 2015.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda serta sebat jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban memohon mahkamah menetapkan tarikh serahan dokumen dan perbicaraan.

Tertuduh yang diwakili peguam TH Lim merayu kepada mahkamah agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan membuat bayaran semula kepada pengadu RM14,000 setakat ini.

Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Norma membenarkan jaminan RM7,000 dan menetapkan 9 serta 10 November ini untuk tarikh perbicaraan.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 5:25am
d