mutakhir

Tol percuma

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Semua pengguna di Plaza Tol Segambut akan menikmati tol percuma selama sebulan sehingga 22 November depan sempena pembukaan rasmi Jajaran Sri Damansara Link (SDL) Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), bermula jam 12 tengah malam semalam.

Pembukaan jajaran baharu itu melengkapkan projek Lebuhraya DUKE Fasa 2 selepas jajaran pertama, Tun Razak Link (TRL) dibuka sepenuhnya kepada pengguna pada 28 September lalu dengan kos pembinaan keseluruhan sebanyak RM1.183 bilion.

Majlis pembukaannya disempunakan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh, Pengerusi Eksekutif Ekovest Berhad Tan Sri Lim Kang Ho dan Pengarah Urusan Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd Tan Sri Lim Keng Cheng, di Plaza Tol Segambut, di sini, semalam.

Jajaran SDL sepanjang 7.4 kilometer (km) menghubungkan Persimpangan Bertingkat Menjalara di bahagian Barat dan menghala ke Timur untuk berhubung dengan Persimpangan Bertingkat Segambut di Jalan Segambut.

Fadillah berkata, pembukaan jajaran itu dijangka memanfaatkan kira-kira 30,000 pengguna jalan raya pada setiap hari sebagai laluan alternatif ke pusat bandar dari Sri Damansara, Rawang, Kepong dan Sungai Buloh.

Katanya, ia dilengkapi kawasan rehat dan rawat Segambut (SEGAR) selain kemudahan ‘Park and Ride’ yang menyediakan lebih 300 ruang parkir kepada pengguna perkhidmatan stesen baharu komuter (KTM) dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 9:45am
d