mutakhir

Drebar OKU disamun penumpang RM977

Oleh HM Digital

Klang: Polis sedang mengesan seorang individu bagi membantu siasatan kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang disamun penumpangnya dengan menggunakan senjata buku lima di sekitar Bukit Tinggi di sini, 17 Oktober lalu.

Pada kejadian jam 10.30 malam, mangsa, 26, yang cacat pendengaran dan bisu kerugian wang tunai serta telefon bimbit.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dialami mangsa yang memandu Perodua Viva.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika kejadian, mangsa membawa tiga suspek berusia 20 tahun hingga 30-an dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ke Bukit Tinggi.

“Suspek tidak menggunakan aplikasi Uber untuk membuat tempahan namun menghubungi telefon bimbit mangsa.

“Mangsa datang ke HTAR dan mengambil suspek. Ketika dalam perjalanan, seorang daripada suspek mengugut mangsa supaya menyerahkan barangan berharga dengan meletak buku lima di lehernya,” katanya, semalam.

Suspek membawa lari telefon bimbit dan wang tunai RM977 milik mangsa.

Kata Shamsul, pihaknya sudah mengenal pasti seorang daripada suspek menerusi lakaran (fotofit) hasil keterangan mangsa.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 9:54am
d