mutakhir

Warga emas 'kaki temberang' didakwa

Oleh Muhamaad Razis Ismail

WARGA emas dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini terhadap tuduhan memperdaya seorang wanita membabitkan kerugian RM3,000 untuk pelaburan sebuah syarikat tidak wujud dua tahun lalu.

Tertuduh Mohammad Abdullah, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Majistret Mohd Azrul Hasyimi Mohamad.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa memperdaya Fatimah Mohamed, 79, menyerahkan wang tunai RM3,000 untuk pelaburan di syarikatnya NRA Gold Enterprise yang tidak wujud di Taman Koperasi PKINK, Mukim Panji, Pengkalan Chepa, 6 petang, 31 Disember 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfazliyana Ahmad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan mengambil kira latar belakang keluarganya yang memiliki dua isteri dan 19 anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 2:35pm
d