mutakhir

Bimbang tragedi Tanjung Bungah berulang

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PEMBANGUNAN di lereng bukit berhampiran Jalan Batu Gantung, Georgetown dikhuatiri menjadi satu lagi tragedi tanah runtuh di Pulau Pinang yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Ia berikutan permukaan bukit yang ditarah menjadi cerun itu tidak ditutup dengan sempurna sekali gus berisiko mengancam nyawa pekerja di tapak pembinaan berkenaan.

Penasihat Penang Citizens Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee berkata, aktiviti pembinaan di lereng bukit itu jelas boleh dilihat pada jarak lebih dua kilometer apabila kawasannya ditarah hingga mewujudkan cerun tinggi.

Katanya, hanya sebahagian daripada cerun tinggi itu ditutup manakala sebahagian lagi terdedah, sekali gus meningkatkan lagi risiko berlakunya tanah runtuh.

"Saya menerima laporan daripada penduduk yang khuatir dengan tragedi tanah runtuh membabitkan 11 pekerja tertimbus di Tanjung Bungah, boleh berulang di tapak pembinaan di Jalan Batu Gantung itu.

“€œSebahagian permukaannya dalam keadaan terdedah dan tidak ditutup, tidak mustahil tanah runtuh boleh berlaku di kawasan cerun berkenaan dan kita bimbang kerana ketika ini terdapat kerja meratakan tanah masih berjalan di situ,”€ katanya pada sidang media di Jalan Brook, Georgetown, hari ini.

Yan Lee berkata, difahamkan kawasan bukit itu adalah tanah persendirian dan diteroka bagi projek pembinaan bercampur membabitkan unit rumah mewah.

Katanya, kerja merancang bagi projek pembinaan di lereng bukit itu diluluskan pada Februari 2015, namun pada 14 Oktober tahun lalu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan surat amaran supaya menghentikan kerja tanah di situ selepas menerima aduan penduduk.

"Kita dapati kerja pembinaan di situ masih berjalan walaupun sudah setahun menerima surat amaran dan ini menimbulkan tanda tanya sama ada projek terbabit sudah dibenarkan beroperasi semula.

"Saya sudah menghantar memorandum kepada MBPP berkenaan status projek itu baru-baru ini dan masih menunggu jawapan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya kerajaan negeri khususnya MBPP menjelaskan mengenai status aktiviti pembangunan cerun berkenaan sama ada ia dipantau secara rapi dan menepati garis panduan yang ditetapkan.

Disiarkan pada: October 24, 2017 @ 4:36pm
d