mutakhir

Cerita sebalik 'Success'

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Batu Pahat: Kehidupan dua kanak-kanak ini mencuri tumpuan kerana memiliki nama istimewa yang diberikan keluarga angkat mereka dengan meletakkan perkataan Success bagi memadamkan kisah hitam dibuang keluarga kandung.

Akif Asyraf Success Abdullah, 7, dan Almirah Awaddah Success Abdullah, 5, yang tiada pertalian darah kini dijaga nenek angkat mereka, Halimah Ahmad, 69, sejak usia bayi selepas ibu bapa kandung kanak-kanak berkenaan memberikan hak penjagaan kekal kepadanya.

Halimah berkata, dia menjaga cucu angkatnya itu bersama anak saudaranya, Allahyarham Nurlizawati Jelani berikutan kasihan melihat keadaan mereka selepas diserahkan ibu bapa kandung.

“Kerana kasihan dan mengelak kedua-dua cucu angkat yang tidak berdosa hidup terbiar, saya dan Liza yang bekerja sebagai kerani syarikat swasta mengambil keputusan membela Akif sehingga dua tahun, selepas itu kami ambil pula Almirah.

“Ketika itu saya dan Liza tinggal di Kepong, Kuala Lumpur sehingga Liza meninggal dunia akibat demam panas pada Julai 2015 pada usia 36 tahun,” katanya di kediamannya di Rumah Pangsa Kampung Kenangan Dato’ Onn, di sini, semalam.

Halimah berkata, kerana tertekan dengan situasi itu, dia yang tidak pernah berkahwin, nekad pulang ke kampung bersama cucu angkatnya untuk memulakan kehidupan baru.

“Liza memang berpesan apa pun terjadi kepadanya, biar anak-anak ini membesar depan mata dan dijaga oleh saya kerana semasa hayatnya, dia begitu sayang kepada mereka berdua.

“Liza tidak mahu masa depan anak-anaknya gelap dan sudah menguruskan hal berkaitan undang-undang dengan mahkamah untuk hak penjagaan Akif dan Almirah.

“Mujur selepas dia meninggal dunia, kami meneruskan hidup dengan wang pencen ilat Liza daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk anak-anaknya sebanyak RM500 sebulan serta bantuan Baitulmal untuk saya yang mula diterima sejak bulan lalu,” katanya.

Katanya, ibu bapa Akif warga tempatan, manakala Almirah dilahirkan di negara ini oleh ibunya yang juga warga Indonesia, sementara bapanya warga tempatan.

“Saya bersyukur kerana Biro Kebajikan UMNO Batu Pahat menghulurkan bantuan untuk menguruskan permohonan taraf warganegara Almirah yang kini sedang diproses Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sekali gus berharap Almirah dapat menjadi warganegara untuk masa depan lebih baik,” katanya.

Katanya, dia sengaja meletakkan perkataan Success pada nama dua cucu angkatnya itu semata-mata mahu memberikan peringatan mereka masih boleh menjadi manusia yang berguna tanpa melihat kepada sejarah hidup masing-masing.

“Saya sering berdoa supaya Akif dan Almirah membesar, sekali gus mampu menjadi manusia yang berguna untuk keluarga serta masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 5:58am
d