mutakhir

Ajal dalam kawah air panas

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Orang ramai yang menghadiri upacara keagamaan di sebuah tokong di Kuala Sanglang, di sini, gempar apabila mendapati seorang lelaki yang berada di dalam kawah mengandungi air panas tiba-tiba tidak sedarkan diri akibat diserang sakit jantung dan melecur, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, mereka dikatakan ternampak tudung kawah itu bergoyang sebelum mendapati mangsa, Lim Ba, 65, tidak sedarkan diri.

Anak perempuan sulung mangsa, Lim Wei Ling, 37, berkata, dia dan adiknya menemani bapa mereka ke tokong itu dan mendiang pernah melakukan upacara serupa dengan duduk di dalam kawah berisi air panas dan diserkup dengan tudung kawah.

Katanya, bapanya sebelum ini pernah menjalani pembedahan akibat masalah jantung tersumbat pada April lalu dan kelihatan sihat selepas itu.

“Malam tadi (kelmarin) pun dia sihat dan tidak menunjukkan tanda sakit sebelum masuk ke dalam kawah berkenaan.

“Namun secara tiba-tiba kami rasa seperti ada yang tidak kena sebelum mendapati bapa tidak sedarkan diri.

“Ketika itu kami semua panik dan cuba menyelamatkan bapa tetapi dia tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya yang menetap di Kerpan, di sini.

Berikutan itu, mereka menghubungi Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, Perlis untuk mendapatkan bantuan sebelum pembantu perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 9:42am
d