mutakhir

Pemandu lori 'keras kepala' ditahan [METROTV]

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Membawa muatan melebihi had dibenarkan dan berbahaya. Itu kesalahan dilakukan lapan pemandu lori yang membawa muatan pasir dan batu di sekitar Jalan Tun Razak, Jalan Cheras dan Jalan Maharajalela.

Mereka ditahan dalam Op Bersepadu Hippo (Lori) yang dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula 6 pagi, hari ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, daripada jumlah keseluruhan, separuh daripadanya didapati membawa muatan berlebihan manakala selebihnya berbahaya.

"Operasi ini dilaksanakan bertujuan membanteras kegiatan lori yang membawa muatan lebih dan gagal mematuhi syarat lesen SPAD," katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua JSPT KL Ahmad Adnan Basri berkata, SPAD mengambil tindakan dalam aspek teknikal manakala pihaknya memberi fokus kepada lori lebih muatan berat di dalam pusat bandar pada waktu puncak.

Katanya, semua kenderaan berat dilarang memasuki pusat bandar dan jalan tertentu di ibu kota pada waktu puncak iaitu 6.30 pagi hingga 9.30 pagi manakala pada waktu petang antara 4.30 petang hingga 7.30 malam.

“ Meskipun sudah ada papan tanda larangan di kebanyakan jalan berkenaan seperti Jalan Duta, Jalan Mahameru, Jalan Genting Klang, Jalan Cheras, Jalan Ipoh, Jalan Kuching dan Jalan Semarak, masih ramai pemandu kenderaan berat ini degil dan ingkar untuk patuh kepada larangan itu.

"Kemasukan kenderaan berat pada waktu puncak bukan saja menyebabkan kesesakan jalan tetapi mengakibatkan kemalangan maut apabila penunggang motosikal bergesel dengan kenderaan besar ini," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 11:19am
d