mutakhir

Seleweng RM1.5 bilion, Amarjit dibebaskan

Oleh Norasikin Daineh

SEORANG Ahli Parti Warisan Sabah (WARISAN), Amarjit Singh dibebaskan daripada tahanan reman hari ini, berhubung kes penyelewengan RM1.5 bilion dana peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Amarjit, 47, individu ke-10 ditahan reman sebelum dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Prosiding itu dijalankan di hadapan Majistret Cindy Mc Balitus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Amarjit diperintah membayar jaminan RM50,000 dengan deposit RM15,000 bersama dua penjamin dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Pada prosiding itu, SPRM diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basiruddin.

Amarjit diwakili peguamnya Loretto Padua Jr.

Amarjit direman selama enam hari bermula 20 Oktober lalu dan tamat hari ini.

Ia bagi membantu siasatan kes mengikut 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Setakat ini, seramai 13 individu ditahan reman termasuk Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Naib Presiden, Datuk Peter Anthony serta beberapa ahli politik dan ahli perniagaan lain.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 11:26am
d