mutakhir

Penjenayah 'biadap' dicekup

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

POLIS menumpaskan penjenayah 'berjubah' yang melakukan samun dan cabul terhadap wanita di sekitar Shah Alam selepas menahan seorang lelaki pada 13 Oktober lalu.

Penjenayah berusia 39 tahun itu mensasarkan surau dan sekolah agama sebagai lokasi melakukan jenayah.

Lelaki itu melakukan jenayah ketika mangsa menunaikan solat Zohor dan sebelum waktu sekolah agama bermula.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, ketika melakukan jenayah, suspek memakai jubah seperti hendak menunaikan solat namun bersenjatakan parang dan pisau.

Menurutnya, ada antara mangsanya dicabul selain barangan berharga termasuk wang tunai, barang kemas dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dilarikan.

"Suspek bergiat aktif seorang diri beberapa bulan lalu dan dari Jun hingga bulan ini sebanyak empat kes dilaporkan.

"Kes pertama berlaku pada 23 Jun lalu di sebuah surau di U8, Bukit Jelutong manakala kes kedua pada 28 Julai lalu di sebuah sekolah agama di Kelana Jaya.

"Kes ketiga berlaku pada 18 Ogos lalu di sebuah surau di Seksyen 4, Shah Alam dan kes keempat di Surau Al-Ikhlas, Bukit Jelutong pada 6 Oktober lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, semua kes berlaku antara 1 tengah hari hingga 3 petang dan suspek mensasarkan mangsa yang solat bersendirian.

"Dalam kes pertama pada 1.41 tengah hari, seorang wanita disamun ketika dia sedang solat Zohor manakala kes kedua suspek memasuki pejabat sebuah sekolah agama dan menyamun dua guru.

"Dalam kes ketiga, seorang wanita disamun ketika sedang solat dan kes keempat mangsa bukan saja disamun tetapi dicabul di dalam tandas surau," katanya.

Beliau berkata, kerugian dianggarkan RM9,000 dan hasil siasatan polis berjaya menjejaki rumah suspek di Kelana Jaya sebelum menahannya pada 13 Oktober lalu pada 4.45 petang.

Menurutnya, pelbagai barangan mangsa selain senjata yang digunakan untuk jenayah ditemui.

Shafien berkata, suspek sudah direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 394, Seksyen 397 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek turut mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan penipuan.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 2:47pm
d