mutakhir

'Jasad ayah ditemui pagi tadi...'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENIAGA nasi kandar yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Kedah, Isnin lalu, ditemui lemas di kawasan belakang kilang Sime Tyres, Mergong, Alor Setar, hari ini.

Mayat Abdus Samad Abdul Ghoffor, 43, ditemui terapung di sungai berkenaan pada 9.30 pagi oleh orang awam yang kemudian menghubungi bomba dan polis.

Anaknya, Muhammad Salman, 21, berkata, bapanya tidak pulang ke rumah di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah selepas keluar memancing menyebabkan keluarganya membuat laporan polis semalam.

Katanya, bapanya gemar memancing ketika tidak berniaga dan kebiasaannya pulang sebelum Isyak.

"Kami reda sebaik dimaklumkan jasad ayah ditemui pagi tadi dan terus bergegas ke hospital," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar Zulkiflee Md Isa berkata, pihaknya menerima panggilan 9.39 pagi.

Beliau berkata, setibanya di lokasi didapati mayat dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira 100 meter dari darat.

"Operasi tamat pada 10.26 pagi dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2017 @ 3:00pm
d